Muhyiddin temui kepemimpinan kerajaan Johor
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin malam ini menghadiri perjumpaan bersama barisan pemimpin Johor di sebuah hotel di Johor Bahru sempena lawatan dua hari beliau ke negeri terbabit.
Ketibaan Pemangku Pengerusi yang juga Presiden Bersatu pada kira-kira jam 8.15 malam itu disambut Menteri Besar Johor merangkap Pengerusi BN negeri, Hasni Mohammad.
Turut hadir pada majlis tertutup itu, Pesuruhjaya PAS Johor Abdullah Husin, Pengerusi Bersatu Johor Mazlan Bujang, Presiden MCA Dr Wee Ka Siong dan Pengerusi MIC Johor R Vidyananthan.
Perjumpaan itu turut melibatkan kepimpinan peringkat bahagian Umno, Bersatu, PAS, MCA dan MIC.
Selain Muhyiddin yang juga Adun Gambir, kesemua 10 Adun dari Bersatu turut kelihatan pada majlis berkenaan.
Terdahulu, dalam perutusan khas sempena persidangan Angkatan Muda Bersatu (Armada), Srikandi dan Bahagian Bersatu yang disiarkan secara langsung melalui Facebook rasmi Muhyiddin hari ini, beliau berkata penyertaan Bersatu dalam Muafakat Nasional (MN) akan dimuktamadkan dalam waktu terdekat.
Muhyiddin berkata, dengan menyertai MN yang mendukung Perikatan Nasional (PN), maka Bersatu akan berada dalam satu gabungan besar (grand coalition).
